2013年11月28日星期四

Peniaga Tertembak Anak Sendiri Yang Disangka Penyamun

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru Balakong, dekat sini Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia 76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumah.

Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan selaras senjata api jenis semi auto keluar menyiasat.

"Kedua-dua anak beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka.

"Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya," kata Ab Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini, Khamis.

Ab Rashid berkata peniaga itu, yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan.

Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, katanya.

Ab Rashid berkata peniaga itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

--BERNAMA

没有评论:

发表评论