2019年4月3日星期三

Wanita cedera kena ragut, rugi RM400



RAKAMAN video menunjukkan seorang wanita warga emas jatuh tersungkur selepas beg tangannya diragut penjenayah menaiki motosikal di Taman Berjaya, Sungai Chua, Kajang.
KAJANG: Seorang wanita kerugian wang tunai RM400 dan hilang pelbagai dokumen peribadi selepas menjadi mangsa ragut dalam kejadian di Jalan Berjaya 9, Taman Berjaya, Sungai Chua di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 63 tahun sedang berjalan kaki bersendirian sebelum beg tangannya diragut dari belakang oleh seorang lelaki menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata mangsa mengalami kecederaan pada jari tangannya akibat terjatuh ketika suspek menarik beg tangannya.
“Buat masa ini kita belum dapat pastikan identiti suspek serta jenis dan nombor motosikal yang digunakannya.
“Justeru kita minta kerjasama saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shairazi Afiq Shamsuddin di talian 016 3674748 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.
Dalam pada itu, kejadian ragut itu terakam menerusi kamera ‘dashboard’ sebuah kenderaan yang kebetulan lalu di lokasi kejadian berkenaan sebelum ia disunting dan tersebar di media sosial.
Menerusi rakaman video itu, kelihatan mangsa sedang berjalan kaki sambil menggunakan telefon bimbitnya sebelum datang suspek dari arah belakang dan menarik beg tangannya.
Mangsa jatuh tersungkur dan seorang pejalan kaki lain kemudian cuba membantunya.
Suspek yang menaiki sebuah motosikal berwarna gelap dan bertopi keledar berpenutup muka penuh serta memakai berbaju merah dan berseluar putih pula terus memecut dari lokasi.

没有评论:

发表评论