2019年4月16日星期二

Kanak-kanak 8 tahun dilapor hilang


KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Bangi, di sini, sejak semalam.
Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi dikatakan keluar dari rumahnya untuk bermain bersama rakannya kira-kira jam 8 pagi.
Ibunya, Sainih Sunding, 46, berkata anak bongsu dari lima beradik itu tidak ke sekolah semalam.
Katanya, dia menyedari kehilangan Zahiruddin apabila tidak melihat kelibat anaknya itu ketika pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Saya bertanyakan mengenai Zahir (Zahiruddin) kepada anak ketiga saya dan dia memaklumkan Zahir bermain dengan rakan di sekitar kawasan rumah.
“Saya menyuruh anak ketiga saya memanggil pulang Zahir, namun Zahir tidak dapat dikesan di kawasan kejiranan, saya kemudian cuba cari di luar kawasan rumah.
“Ada jiran yang melihat Zahir pergi ke kedai tengah hari semalam dan pada sebelah petang pula ada jiran ternampak dia bermain di kawasan kejiranan dan itulah kali terakhir Zahir dilihat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sainih berkata, laporan polis berhubung kehilangan Zahiruddin sudah dibuat di Balai Polis Bandar Seri Putra, malam tadi.
“Saya sudah mencarinya di lokasi sekitar Bandar Seri Putra, namun masih gagal untuk menemuinya.
“Zahiruddin kali terakhir memakai baju kemeja-T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru, saya amat risaukan keselamatan Zahir kerana dia tidak pernah berbuat demikian (tidak pulang ke rumah),” katanya.
Kehilangan kanak-kanak itu turut dihebahkan melalui Nur Alert, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Mohd Zahiruddin diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk maklumat lanjut.

没有评论:

发表评论