2014年3月22日星期六

Siapa pilihan penduduk Kajang?















Walaupun tempoh rasmi kempen hanya 12 hari, dengan kedua pihak yang bertanding telahpun memulakan kempen 'tidak rasmi' mereka sebaik kerusi DUN Kajang dikosongkan 27 Januari lalu; ini mungkin kempen PRK paling lama dalam sejarah.

Seramai 38,055 pengundi bakal mengundi hari ini setelah 1,197 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka Rabu lalu.

Fokus PRK yang dipanggil 'langkah Kajang' ini dikatakan Pakatan Rakyat sebagai referendum menentang ketidakadilan, kepincangan sistem kehakiman dan gerakan pelampau agama.

Perkara itu akan tergambar daripa keputusan hari ini. Soalnya, adakah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mampu menambah majoriti hampir 7000 undi pada 2013 atau sebaliknya.

Calon BN Chew Mei Fun pula dilihat mahu memperbaiki sokongan kaum Cina yang hanya di takat 40 peratus pada pilihan raya umum lalu, sekali gus membuktikan partinya MCA masih relevan.

Pengiraan undi dari 18 daerah mengindi Kajang akan dilakukan di Stadium Majlis Perbandaran Kajang dengan keputusan dijangka diketahui secara berperingkat tidak lama selepas pengundian ditutup jam 5 petang ini.

Apa pilihan penduduk Kajang?

LAPORAN LANGSUNG

Peti undi mula dibawa masuk ke pusat penjumlahan di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, keputusan bagi pilihan raya kecil DUN Kajang dijangka akan dapat diketahui seawal jam 9 malam.

Jumlah keseluruhan yang keluar mengundi hari ini adalah 72 peratus, lebih rendah dari angka 87 peratus yang direkodkan dalam pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.

LAPORAN LANGSUNG

9.10pm: Pengurus pilihan raya Hassan Nawawi mengumumkan Wan Azizah Wan Ismail sebagai ADUN Kajang.

9.05pm Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata terdapat peningkatan undi daripada kaum Cina kepada BN dalam pilihan raya kecil DUN Kajang berbanding pada pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya sokongan kaum Cina meningkat 9 peratus iaitu 16 peratus dalam pilihan raya umum ke-13 kepada 25 peratus dalam pelihan raya kecil itu.

"Ini satu perlu permulaan yang baik untuk kami bersatu. Kami perlu bekerja lebih kuat, memulihkan kelemahan dan memperkukuhkan parti," katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Angkat.

Liow bagaimanapun mengakui bahawa mereka kehilangan undi daripada pengundi muda dalam pilihan raya kecil ini.

"MCA berjanji akan tranformasi untuk memperkukuhkan parti. Sokongan yang diberikan memberi semangat untuk kami terus bekerja," katanya.

Sebelum itu, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Saie Kie mengakui peningkatan pengundi Cina lebih 9 peratus yang disifatkannya sebagai "tanda positif", tetapi undi daripada kaum Melayu berkurangan.

Beliau menjelaskan faktor bangsa menjadi alasan mengapa perkara itu berlaku.

"Mungkin faktor calon Wan Azizah Wan Ismail yang tidak ada isu menyebabkan hal itu (undi Melayu berkurangan) berlaku," katanya.

Sementara itu, ura-ura yang menyebut Najib yang dijadualkan ke Kg Bukit Angkat pada malam ini tidak menjadi kenyataan.

9.01pm RASMI:

PKR - 16,741
BN - 11,362
 
Majoriti - 5,379

9pm Pusat operasi MCA Sungai Chua - naib presiden MCA Chew Mei Fun menerima kekalahan di DUN Kajang.

Beliau mengucapkan tahniah kepada presiden Wan Azizah.

Bagaimanapun, MCA mencapai dua sasaran - untuk mengurangkan majoriti PKR dan meningkatkan sokongan masyarakat Cina kepada MCA, katanya.

8.53pm Wan Azizah tiba di pusat penjumlahan dan SPR dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi.

Petugas TNB dilihat berada di kawasan ini bagi mengelakkan berlaku kejadian bekalan elektrik putus.


8.52pm Bilik gerakan PKR -  Fahmi Fadzil berkata PKR secara tidak rasmi berjaya menang atau mengurangkan majoriti empat kawasan kubu kuat Umno sebelum ini.

Menurut beliau PKR merampas daerah mengundi Sg Sekamat dengan 45 undi (sebelum ini tewas dengan 239 undi) dan juga daerah mengundi Taman Delima dengan 3 undi (sebelum ini tewas dengan 123 undi).

"Di Sg Kantan dulu kita kalah 420 undi tetapi sekarang berkurang kepada 225 manakala di Daerah Mengundi Batu 10 Cheras (157) sekarang berkurang kepada 151," kata beliau.

8.40pm Tak rasmi dari sumber PKR:

PKR - 16,770
BN - 11,401
Majoriti - 5,369

Ini jumlah meliputi kesemua 88 saluran dan 72 peratus yang keluar mengundi.

Jumlah majoriti berkenaan menunjukkan ia merosot sebanyak 1,455 undi.

Calon PKR memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 6,824, dengan 88 peratus keluar mengundi.

8.38pm Kira-kira 150 penyokong BN termasuk pengamal media berhimpun Kg Bukit Angkat untuk menikmati satay dan nasi lemak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan hadir ke sini bersama penyokong. Setakat tidak pasti sama ada beliau akan kekal dengan rancangan tersebut.

8:32pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR: 16,581
BN: 11,242

Majoriti: 5,339

8.15pm Bilik gerakan undi PKR - Suasana meriah dengan kumpulan ahli berhimpun menunggu kemaskini keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil Kajang di sini.

Beberapa pemimpin utama parti, termasuk calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim telahpun bertolak ke stadium Majlis Perbandaran Kajang.

Sementara itu pengarah strategi PKR Rafizi Ramli ketika ditemui berkata beliau gembira dengan keputusan tidak rasmi ini kerana berjaya memenangi dua kawasan Melayu yang tewas sebelum ini iaitu Taman Delima dan Sg Sekamat.

"Kalau ikut peratusan kita menang lebih besar walaupun majoriti kita berkurang. Ini kerana peratusan keluar mengundi yang rendah," kata beliau.


8pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR - 16,086
BN - 10407
Majoriti: 5,679

7:35pm Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil umum PKR menang di dua kawasan majoriti Melayu - Sekamat dan Taman Delima. PKR tewas di kedua-dua kwasan tersebut dalam pilihan raya umum ke-13.


7.30pm Tak rasmi:

PKR - 15,055
BN - 9,628
Majority - 5,427

Kira-kira 88 peratus undi telah dikira.

PKR nampaknya mengekalkan kerusi DUN Kajang dengan majoriti berkurangan sebanyak kira-kira 1,000 undi.

7.14pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR - 13,414
BN - 8,226

Ini adalah jumlah dari sekurang-kurangnya 80 peratus undi.

7.13pm Tak rasmi - Sumber PKR menunjukkan undi dari 55 telah dikira

PKR - 10,187
BN - 6,494

7.10pm Penyokong dan petugas parti kini masih ternanti-nanti dengan keputusan pilihan raya DUN Kajang. Mereka sedang mengira tally di Pejabat Umno Hulu Langat di Pekan Kajang.

Antara pemimpin yang hadir di sini ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adanan Tengku Mansor, SUK Umno Datuk Rauf Yusoh dan Ketua Bhagian Umno Datuk Johan Abdul Aziz.

7.05pm Tak rasmi - Jumlah undi setakat dari 53 saluran:

PKR - 10,070 BN
BN - 6,145
Majoriti - 5,075

6.56pm Tak rasmi - Jumlah undi dari 52 saluran diperolehi

PKR - 9,892
BN - 6,075
Majoriti - 3,817

6.53pm Tak rasmi - Jumlah undi dari 48 saluran diperolehi:

PKR - 9,257
BN - 5,448
Majoriti - 3,809

6.42pm Tak rasmi - Sumber PKR memberi angka menunjukkan parti itu semakin mendahului berdasarkan undi dari 45 saluran.

PKR - 8,847
BN - 5,260
Majoriti - 3,587

6.35pm Tak rasmi dari sumber PKR - Keputusan dari 39 saluran:

BN - 4,361
PKR - 7,514

6:30pm Tak rasmi - Keputusan dari 31 saluran diperolehi

PKR - 5,242
BN - 3,429

6.15pm Tak rasmi - Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil umum parti itu menguasai pilihan raya kecil DUN Kajang, berdasarkan pengiraan awal:

PKR - 4,239 undi
BN - 1,617
Majoriti - 2,622

Keputusan itu berdasarkan 26 dari 88 saluran pengundian, atau 33 peratus dari jumlah undi.


5pm: Tempoh pengundian tamat. SPR menjangka keputusan diketahui seawal 9 malam.





4.30pm Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi bertukar menjadi kubu untuk mengawal pusat penjumlahan undi.

Kawasan tersebut dilengkapi sekatan pagar kawat berduri dan dikawal anggota pasukan keselamatan, termasuk dengan unit anjing pengesan.


4.15pm Wan Azizah beredar dengan sebuah motosikal untuk meminta pengundi keluar menunaikan tanggungjawab. Pusat pengundian akan ditutup dalam masa kurang satu jam.

4pm Tinjauan terbaru menjangkakan PKR menguasai 53 peratus sokongan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berbanding BN dengan hanya 32 peratus.

Menurut pusat tinjauan Ilham Center, undi Melayu menjadi penentu kemenangan dan langkah PKR meletakkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dikatakan berjaya menawan undi kaum itu.

"Bagi PKR, kelebihan dengan calon Melayu, sedikit sebanyak mampu meraih undi pengundi yang memilih atas asas Melayu-Islam.

“Jumlah ini agak signifikan iaitu jika dilihat kepada jumlah undi calon bebas dalam PRU lalu memperoleh seramai hampir 1,400 orang (pengundi)," laporan kajian itu dipetik.




3.50pm Pusat Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan Sungai Chua - calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba untuk membuat tinjauan perjalanan pilihan raya di dua pusat mengundi ini.

Beliau setia dengan kipas tangan dan sarung tangan yang dipakai sebelah pada tangan kanannya, dipercayai untuk membolehkan beliau bersalam dengan lelaki bukan muhrim.

Beliau kelihatan agak tergesa-gesa sewaktu membuat tinjauan walaupun difahamkan akan melawat hanya satu lagi pusat membuang undi.

3.50pm Sebanyak 60.85 peratus keluar mengundi setakat jam 3pm dan PKR berharap jumlah ini akan meningkat ke angka 75 peratus.

"Saya percaya ini kerana orang yakin Pakatan akan menang jadi mereka tidak serius seperti semasa pilihan raya umum," kata MP Bayan Baru Sim Tze Tsin.

Menurutnya petugas kempen PKR dikerah untuk menarik pengundi keluar untuk membolehkan mereka mencapai angka 75 peratus.

Katanya, jumlah keluar mengundi yang rendah itu dikesan di kedua-dua belah penyokong BN dan Pakatan di kesemua 16 daerah mengundi.

Maka, tumpuan kini adalah untuk menang dan bukannya untuk meraih majoriti besar, katanya.


2.20pm: Pengawah komunikasi PKR Fahmi Fadzil di Twitter mendakwa Anwar nyaris ditumbuk oleh individu tersebut dalam satu kejadian di Sungai Sekamat.

Satu rakaman video yang disaksikan Malaysiakini menunjukkan berlaku satu kejadian kekasaran di antara penyokong PKR dan BN pada kira-kira jam 10.30 pagi ini,

Bagaimanapun, kejadian itu berlaku beberapa meter daripada Anwar yang sedang beredar dari tempat kejadian.

Rakaman itu menunjukkan bahawa satu payung dengan logo BN dilemparkan ke arah penyokong PKR namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di Twitter mendakwa tidak ramai penyokong PKR dikesan di pusat pengundian, yang menurutnya menunjukkan PAS tidak gembira dengan strategi “Langkah Kajang”.

Bagaimanapun, wartawan Malaysiakini di lapangan mengesahkan terdapat penyokong PAS di kalangan penyokong PKR, termasuk briged Unit Amal parti itu.

Bendahari PAS Hatta Ramli dilihat di kawasan Sungai Kantan hari ini.

2pm Jumlah keluar mengundi 53.71 peratus setakat ini. Jumlah keluar mengundi yang lebih rendah berbanding 2013 (87 peratus) dijangka akan memberi kesan kepada penguasaan PKR di kerusi DUN ini.

Anwar menyiarkan rayuan di Twitter agar pengundi menggunakan masa untuk keluar mengundi sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang.

1:30pm Sg Kantan - Kunjungan dari presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN, Chew Mei Fun menyemarakkan semula semangat penyokong parti untuk bersorak-sorai.

Suasana itu kembali hingar apabila seorang penyokong Pakatan melaungkan "Kangkung! Kangkung!".

Penyokong BN membalas semula dengan aksi menggoyangkan punggung mereka ke ara penyokonga Pakatan, dengan diawasi pasukan polis.

Sorakan itu kemudiannya surut semula selepas pemimpin MCA dan PKR, seperti MP Subang R Sivarasa beredar dari kawasan tersebut,

12pm Seramai 15,529 (40.81 peratus) keluar mengundi setakat tengahari.


11.30am SK Kantan Permai - seorang pengundi yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa.

"Saya membesar dengan Pakatan. Saya mahu Pakatan Rakyat menang. Mahasiswa juga banyak menggerak massa. Saya dengar ada undi kesian daripada atas pagar, dia kata undi Kak Wan," katanya.

11.16am Kajang - Satu kumpulan penyokong BN bermotosikal diketuai pemimpin Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah membunyikan enjin jentera merea ketika melalui beberapa pusat pengundian.

Mereka memulas pendikit minyak untuk membuatkan enjin motosikal menderu kuat sehingga menenggelamkan laungan penyokongan lawan.

Kumpulan berkenaan berbuat demikian selama kira-kira 10 minit sebelum meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan kelam akibat kepulan asap motosikal.

Sementara itu seramai 20 orang penunggang basikal, termasuk seorang warga emas yang memakai baju dengan tulisan 'Power of Rakyat' dan 'Rakyat Is Not A Fool' turut mengunjungi kawasan-kawasn pengundian untuk menunjukkan sokongan.

Seorang daripadanya berang apabila disorak oleh sorang penyokong BN di SK Convent di Kajang, dan menjerkah kembali: "Hei bodoh!"

Beliau kemudiannya ditenang oleh penyokong PKR yang memberikannya minuman.

11.15am SK Kantan Permai - Penyokong Pakatan Rakyat semakin bertambah.

Beberapa orang penyokong PKR dilihat mengejek penyokong lawan dengan membuat aksi 'bomoh teropong'.

Seorang daripadnyaa menggunakan batang paip kecil berwarna hitam sebagai teropong, seorang lagi memegang dua biji kelapa tua dan seorang lagi memegang batang penyapu.

Ia bagi mengajuk upacara perbomohan seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zin di KLIA bagi mencari pesawat MH370.

Kumpulan penyokong Pakatan turut melaungkan ejekan "Kangkung" kepada penyokong BN.

11.00am SK Kantan Permai - Bercakap kepada media, calon PKR Datuk Seri Wan Azizah berkata beliau telah mengunjungi beberapa pusat pengundian dan mendapati sokongan terhadapnya "memberangsangkan".

Bagaimanapun, dari kunjungannya itu, beliau mendakwa ada suasana tegang tercetus khususnya dari penyokong BN.

"Saya berharap pilihan raya berjalan dengan aman," katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Presiden PKR itu berkata: "Saya tidak boleh ramal kemenangan, tapi saya rasa (syukur) Alhamdulillah, sekarang," katanya.

Wan Azizah juga kesal kerana tempat mengundi untuk warga emas di sebuah pusat pengundian - yang pernah dirasmikan oleh Anwar sewaktu menjadi menteri pelajaran - dibuat di tingkat satu.

"Sepatutnya (SPR) merancang supaya (suasana pilihan raya) mesra pengundi, kata Wan Azizah.

Beliau berkata akan meneruskan kunjungannya di pusat pengundiannya yang lain sebelum berhenti rehat dan menyambungnya semula selepas itu.

Dalam sidang media yang sama juga, Anwar berkata beliau yakin PKR akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau juga berharap baki pengundian hari ini berjalan lancar, dan mahu penyokong PKR tidak termakan dengan provokasi lawan.

"Mereka menggunakan istilah lucah, saya minta penyokong tenang, kalau nak kata, 'kangkung' tak mengapa," katanya.


10.27am SK Kantan Permai - Calon PKR Dr Wan Azizah Sampai Wan Ismail sampai di pondok panas PKR yang terletak kira-kira 150 meter daripada pusat mengundi.

Beliau sempat bergambar dengan penyokong yang melaungkan "Reformasi".

Manakala penyokong BN pula melaungkan "Tolak Kak Wan" dan "Tolak PKR" sewaktu Wan Azizah bersalaman dengan penyokong Pakatan dan kenderaan lalu lalang di situ.

Kedengaran juga seorang penyokong Tiong Hua yang bersalaman dengan beliau berkata: "Kita sudah menang".

Wan Azizah menyambutnya dengan senyuman. Beliau kemudiannya terus menuju ke pusat pengundian SK Kantan Permai.

10.15am SK Kantan Permai - Anwar Ibrahim tiba di pondok panas PKR sampai bersalaman penyokong Pakatan yang berada di situ termasuk kenderaan yang berhenti.

Penyokong Pakatan yang berada di situ mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya bersama-sama bekas pesuruhjaya PAS Melaka Abdyl Ghani Abdul Rahman dan Datuk Lajim Ukin.

Bagaimanapun ketua pembangkang itu tidak melalui kawasan yang dipenuhi dengan penyokong BN.

Penyokong BN tidak melaungkan apa-apa sewaktu kehadiran Anwar kerana tenggelam dengan laungan penyokong PKR yang melaungkan "Tolak BN" dan "Reformasi".

10.15am Sg Kantan - Kesesakan lalu lintas menyebabkan pemimpin politik membonceng motor untuk meninjau kawasan pengundian.

Antara yang dilihat ialah Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan Naib President Umno Datuk Shafie Apdal.

Suasana di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan meriah dengan kedua-dua penyokong dipisahkan sebatang jalan dan berlawan sorak di hadapan lawan masing-masing.


10.10am SK Kantai Permai -Ahli parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim yang bersama-sama penyokong BN amat berharap BN dapat memenangi pilihan raya kecil DUN Kajang.

"Saya lihat (ada kecenderungan) pertambahan (orang keluar) mengundi yang begitu meningkat. Saya yakin kita mencapai kejayaan luar biasa.

"Dalam proses demokrasi, kita menghormati (sama ada menang atau kalah), persaingan tetap ada. Suasana dengan penuh keamanan. Saya harap ia menjadi transformasi pasca PRU-13," katanya.


10.00am SK Kantai Permai - Dipisahkan hanya satu lorong ke Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, penyokong BN dan PKR meraih undi kepada pengundi yang menuju ke pusat pengundian itu.

Penyokong BN yang kelihatan lebih ramai daripada penyokong PKR melaungkan " Hidup BN", "Hancur Anwar", "Tolak Anwar" dan "Tolak Kak Wan" beberapa kali sambil mengibar bendera dan poster Chew Mei Fun.

Manakala penyokong Pakatan hanya melaung reformasi. Pondok panas mereka hampir bertentangan satu sama lain.

Berlaku sedikit kekecohan apabila seorang pemandu kereta - tidak dapat dipastikan penyokong BN atau PKR - telah melanggar belakang sebuah motosikal di hadapan kedua-dua penyokong menyebabkan penyokong BN marah.

Bagaimanapun, kekecohan itu dapat ditenangkan oleh anggota polis.

9.55am Kajang - Polis minta pekerja parti, kecuali yang membantu warga emas, beralih daripada pusat pengundian di SK Convent Kajang.

Perayu undi MCA dilihat merekodkan jumlah pengundi yang tiba mengikut bangsa. Mereka juga dilihat mendekati pengundi Cina dengan berkata "Chew Mei Fun" dan "hua ren".

Ditanya sama ada dibenarkan berbuat demikian, dia menjawab: “Siapa kamu? Wartawan? Saya juga  boleh jadi wartawan. Saya tidak pakai mana-mana logo parti.”

“Kamu tidak cakap bahasa kami jadi kamu tidak tahu apa saya kata. Kamu tak perlu wawancara saya.

“Saya tidak takut, saya tidak sembunyikan apa-apa atau buat salah. Jika saya macam itu polis boleh tangkap,” kata lelaki bergelar “Datuk” itu yang enggan mendedahkan identitinya.



9.00am SK Kantan Permai - Suasana pilihan raya DUN ini semakin 'panas' apabila semakin ramai penyokong BN membanjiri pusat pengundian ini.

Malah, mereka yang berdiri di kiri dan kanan jalan menyanyikan lagu 'Inilah Barisan kita' beramai-ramai sambil diperhatikan oleh penyokong PKR dan Pakatan.

Suasana lebih meriah, apabila seorang penyokong Puteri Umno mengetuai lebih 200 penyokong BN yang berhimpun di luar pusat mengundi, bersorak" Hidup BN" beberapa kali.

8.45am SK Kantan Permai - Kira-kira 35 anak muda penyokong BN menunggang motosikal sambil memulas minyak sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengeluar asap sambil mengibarkan bendera sekaligus mengganggu penyokong yang merayu di luar kawasan mengundi.

Salah seorang perayu undi PKR berteriak beberapa kali kepada mereka: "Baguslah, baguslah, buat macam ini."


8.36am SK Kantan Permai - Penyokong BN lebih mendominasi penyokong PKR untuk meraih sokongan pengundi yang masuk ke sekolah ini. Lebih 100 orang penyokong BN mengibar bendera dan payung sambil melaungkan "Hidup BN, Undilah" BN.

Manakala kira-kira 35 penyokong PKR pula memegang poster Wan Azizah dan bendera PKR sambil menunjukkannya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Terdapat juga kenderaan yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada calon BN, menyebabkan penyokong parti bersorak.

8.30am Dewan Orang Ramai Sungai Chua - Penyokong BN dan PKR kelihatan berdiri bersebelahan di tepi jalan masuk ke Dewan Orang Ramai Sungai Chua.

Penyokong BN memakai topi dan vest berlambang BN sementara penyokong PKR memegang poster wajah Datuk Seri Wan Azizah bertulisan 'Dari Kajang ke Putrajaya'.

Turut kelihatan adalah kira-kira 10 orang anggota Unit Tindakan Ringan yang berkawal berhampiran tempat penyokong-penyokong tersebut berdiri.

Pada masa sama, aliran keluar masuk pengundi ke Dewan Orang Ramai untuk membuang undi kelihatan berjalan lancar tanpa masalah.

8.20am Sungai Chua – Chew memulakan harinya di Persatuan  Jing Miao Buddhist sebelum melawat beberapa pusat pengundian. Beliau dijadual melawat  SRJK (C) Sungai Chua pada-pada jam 9 pagi.

8.18am Kajang Beberapa pengundi dilihat mengalami masalah tersalah pusat pengundian.

“Kamu mengundi di BukitKajang, kawasan sebelah di Bangi,” kata seorang agen pengundian pada pemilih.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menolak dakwaan seorang pengundi yang mendakwa, di Internet, dipindahkan keluar daripada Kajang tanpa persetujuan.

Kajang meliputi kawasan antara Batu 10 Cheras hingga Seksyen 14 Bangi.

8:15am Sungai Sekamat -  Sedikit kekecohan berlaku apabila sekumpulan polis meminta penyokong PKR dan BN tidak berdiri sebelah menyebelah bagi mengelakkan pergaduhan.

Pergeseran itu dikatakan berpunca lantaran kesesakan jalan raya di hadapan  Jalan Sekamat 1 semakin teruk memaksa penyokong kedua belah pihak berhenti jauh di pinggir jalan.

Tindakan campur tangan polis mengawal keadaan dan trafik meredakan keadaan dengan kedua pihak  nampak masih tidak berminat berprovokasi antara satu sama lain.

Sebuah ambulans turut terperangkap dalam kesesakan itu.

8.05am SK Saujana Impian - Keadaan di sini aman, pengundi mula memasuki pusat pengundian. Kira-kira 30 anggota polis mengawal keselamatan dan lalulintas di SK Saujana Impian.

8.00am  Sungai Sekamat - Keadaan jalan agak sesak di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat.

Namun ia bukan kerana pengundi berpusu-pusu membuang undi sebaliknya kerana Pasar pagi yang lazim diadakan di Jalan Sekamat 1 setiap hari Ahad.

Bagaimanapun pusat pembuangan undi ini agak aktif dengan penduduk tempatan mengambil peluang memilih ADUN baru mereka.

7.55am SK Saujana Impian - Kira-kira 25 orang pengundi bagi saluran 1 dan 2 telah memasuki kawasan sekolah dan beratur untuk mengundi.

Sebanyak lima saluran dibuka di pusat mengundi ini.

Tidak kelihatan penyokong daripada kedua-dua parti berhimpun di sekitar kawasan sekolah untuk meraih sokongan pengundi yang hadir.

Seramai 2014 pengundi berdaftar di SK Saujana Impian.

没有评论:

发表评论